KANGAR 17 Dis. - Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) tidak menolak kemungkinan mengikut jejak langkah Kelantan iaitu bercadang untuk menarik diri dalam persaingan Liga Perdana musim depan ekoran masalah kewangan yang membelenggu persatuan itu.
Ini berikutan PFA kini tidak mampu lagi menanggung kos antara RM6 juta hingga RM10 juta setahun dalam keadaan persatuan itu tidak mempunyai sebarang penajaan.
Ditambah pula apabila persatuan tersebut terpaksa menyewa Stadium Tuanku Syed Putra (STSP) di sini, untuk menjalani sesi latihan para pemain empat kali seminggu.
Bekas Presiden PFA, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika diminta mengulas perkara itu menggesa kerajaan negeri agar membantu masalah yang sedang dihadapi PFA itu.
“Adalah tidak wajar dalam keadaan PFA merangkak mendapatkan kewangan, kerajaan negeri mengenakan sewa stadium pula kepada persatuan.
“Jika tidak mendapat sokongan (kerajaan negeri), buat apa (wujud lagi PFA). Mungkin kita boleh serah PFA kepada kerajaan negeri.
“Kita kena ingat bahawa bola sepak merupakan permainan nombor satu yang mendapat tempat di hati rakyat,” katanya dalam sidang akhbar setelah bertemu empat mata dengan para exco PFA di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengulas kemungkinan PFA mengikut jejak langkah pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors yang berura-ura menarik diri dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) ekoran masalah kewangan.
Menurut Shahidan, pihaknya sentiasa memberi sokongan kepada PFA agar berada di persada bola sepak negara.
Katanya, berdasarkan maklumat diterima, The Red Warriors telah dibantu Kerajaan Persekutuan ekoran masalah yang membelenggu pasukan tersebut.
“Namun, saya ingin mengingatkan bahawa pasukan Singa Utara juga pernah ‘mengaum’ satu masa dahulu. Kini kita berhadapan masalah kewangan dan justeru perlu juga dibantu,” tegas beliau.