Dalam posting Facebooknya yang lain, TSAM turut merujuk kepada penarikkan diri Persatuan Bola Sepak Perlis dari menyertai Liga Malaysia musim 2017 nanti setelah masalah yang sama iaitu dari segi kewangan melanda skuad singa utara itu.
"Setiap kali sebuah kelab bola sepak atau syarikat menghadapi masalah kewangan, ia dipanggil kelemahan pengurusan. Ia juga secara tidak langsung mencerminkan sikap pemimpin tersebut.
"Apabila anda berada dalam kedudukan di mana anda mempunyai banyak penaja, anda sepatutnya menggunakan peluang tersebut untuk melangsaikan semua hutang anda.
"Sebaliknya, anda membuat keputusan dengan mengambil khidmat jurulatih import baru serta tiga pemain import tambahan. Dengan keputusan ini, orang-orang yang menjadi mangsa adalah pemain-pemain tempatan kerana mereka tidak menerima gaji mereka," kata Tunku Ismail.
Menurut Tunku Ismail, keutamaan sepatutnya diberikan kepada pemain tempatan dan bukannya pemain import.
"Ia jelas menunjukkan bahawa anda terlebih membayar pemain import dan hasilnya, anda tidak mampu untuk mengekalkan kelab.
"Perkara itu tidak berakhir di sini, kita dapat lihat prestasi Kelantan mulai merosot dan cukup jelas bahawa kapal tersebut mulai karam.
"Lebih memburukkan lagi keadaan sebagai nakhoda kapal, anda memilih untuk meninggalkan kapal tersebut, dan membiarkan anak-anak kapal anda menderita. Dan dengan situasi tersebut, anda masih ada keinginan untuk menjadi Presiden FAM," kata Tunku Ismail.