JUARA UNITED KINGDOM BAKAL DIMASYHURKAN

WWE mengorak selangkah lagi dalam usaha melebarkan empayar mereka dengan mengumumkan sebuah kejohanan khusus buat para penggusti bagi United Kingdom (UK) dan Republik Ireland yang bakal mengambil tempat pada bulan hadapan.

Perkara ini telah diumumkan oleh Naib Presiden Eksekutif Untuk Bakat, Siaran Langsung dan Kreatif WWE, Paul "Triple H" Levesque dalam satu sidang media khas yang berlangsung di O2 Arena, London semalam.

 

Menurut bekas Juara Dunia WWE sebanyak 14 kali ini, kejohanan yang julung-julung kalinya diadakan ini akan menampilkan 16 penggusti terkemuka dari UK dan Ireland, di mana kesemua mereka akan bertarung sesama sendiri dalam lapan perlawanan. Penggusti tunggal yang tinggal dalam perlawanan akhir akan diisytiharkan sebagai pemenang dan bakal dinobatkan sebagai Juara UK WWE pertama dalam sejarah.

UK Championship

The Game turut mendedahkan reka bentuk bengkung kejuaraan yang bakal menjadi rebutan para penggusti yang terlibat dalam kejohanan yang bakal berlangsung selama 2 hari dari Empress Ballroom, Blackpool, England ini. Kejohanan ini juga akan disiarkan secara langsung dan eksklusif di WWE Network pada 14 dan 15 Januari 2017 depan.

Antara beberapa nama yang telah mengesahkan tempat dalam kejohanan ini adalah seperti Trent Seven dari Wolverhampton, Pete Dunne dari Birmingham, penggusti muda 19 tahun Tyler Bate dari Dudley, West Midlands, penggusti sasa Wolfgang dari Glasgow, Tyson T-Bone dari Malvern, termasuk penggusti lincah dari Ireland Utara, Tucker, penggusti akrobat Jordan Devlin dari Bray, County Wicklow yang sekampung dengan bintang WWE, Finn Balor, dan juga tidak ketinggalan Londoner Roy Johnson, seorang bekas juara angkat berat.

UK Competitor

Walaupun nama-nama mereka ini kurang dikenali di pentas antarabangsa, namun mereka bukanlah asing lagi buat para peminat gusti di UK. Negara tersebut yang turut aktif dalam pengendalian sukan ekstrim ini juga sememangnya telah melahirkan ramai bakat hebat dalam gusti melalui beberapa organisasi gusti indie di sana seperti Rev Pro, Insane Championship Wrestling (ICW) dan Progress.

Kejohanan selama dua hari ini juga turut menarik perhatian dengan kemunculan jaguh gusti veteran England, Nigel McGuiness yang diumumkan bakal bergandingan bersama pengulas veteran WWE, Michael Cole sebagai perantara. McGuiness sememangnya tidak asing lagi buat para peminat gusti seluruh dunia dengan pengalaman hebatnya di pentas indie di seluruh dunia sejak sedekad lalu sehingga berjaya memegang rekod sebagai Juara Dunia di Ring Of Honor (ROH) selama 545 hari.

Nigel McGuiness

McGuiness atau Desmond Wolfe ketika di TNA, 40, sebelum ini aktif sebagai pengulas perlawanan di ROH termasuk bertanggungjawab menjadi pengatur perlawanan bagi organisasi gusti ketiga terbesar di Amerika Syarikat itu. Penyertaannya bersama pasukan produksi kejohanan UK WWE ini ternyata mengejutkan banyak pihak termasuk pengurusan ROH sendiri kerana beliau telah menghantar notis perletakan jawatan secara mengejut awal minggu lalu tanpa memaklumkan bahawa beliau telah menerima tawaran daripada WWE.

Berbalik kepada Kejuaraan UK WWE ini, kewujudan kejuaraan ini pastinya akan menambahkan lagi saingan di WWE. Setelah kejuaraan yang hampr serupa iaitu Kejuaraan Eropah WWE ditamatkan saingannya pada 2002, tiada kejuaraan khas untuk para penggusti di wilayah tersebut dan legasi penggusti hebat seperti mendiang British Bulldog dan William Regal tidak dapat diteruskan.

Bulldog

Belum dapat dipastikan di manakah kejuaraan ini bakal dipertandingkan apabila kejohanan ini tamat kelak. Nampak gaya mungkin ia akan ditempatkan di jenama Smackdown Live setelah jenama Raw kini mempunyai Kejuaraan Amerika Syarikat dan Kejuaraan Cruiserweight.

Sumber : Astro Arena


SHARE

Unknown

  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image