KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mempertikaikan pendirian Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) mencadangkan supaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ditadbir secara proksi.
Katanya, cadangan MUSA bagi melantik Tan Sri Aseh Che Mat sebagai presiden badan induk itu untuk membolehkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terbabit dalam FAM adalah sama sekali tidak boleh diterima kerana melanggar statut badan induk berkenaan. "Apakah yang cuba dilakukan? Apakah FAM mahu ditadbir secara proksi? Di mana letak duduk statut FAM sehingga MUSA boleh mencadangkan struktur jawatan yang tidak wujud dalam statut FAM. "Sekiranya ahli gabungan menyokong Tunku Ismail harus dipilih sebagai presiden, no proxy please (mohon tiada proksi)...ia akan memburukkan lagi pentadbiran FAM," katanya yang sebelum ini dilaporkan turut menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden FAM bagi menggantikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada kongres FAM tahun depan.
"Seorang presiden perlu mengambil tanggungjawab penuh dengan mandat daripada kongres dan bukan pihak tidak kira siapa mereka. "FAM ada penaung seumur hidup kalau tidak silap saya. Jadi sebarang lantikan penaung baharu hendaklah jelas iaitu tidak boleh mencampuri secara langsung pentadbiran FAM dan wajib mematuhi statut sedia ada," kata Annuar dalam akaun Facebook miliknya. MUSA menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Yusoff Mahadi dalam satu laporan akhbar tempatan, berkata pihaknya bersedia untuk memberi sokongan kepada Aseh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Intergriti FAM asalkan ia dapat menarik pembabitan Tunku Ismail dalam badan induk bola sepak negara itu.
Katanya, Tunku Ismail lebih selesa berada dalam FAM sebagai Penaung atau Penasihat Diraja berbanding menjadi presiden tetapi ahli gabungan perlu memilih Aseh bagi menerajui FAM. Mengulas lanjut, Annuar berpendapat Tunku Ismail perlu membuat ketetapan muktamad sama ada bersedia untuk dipilih sebagai presiden atau sebaliknya.
"Saya fikir elok TMJ buat ketetapan muktamad sama ada bersedia dipilih atau tidak sebagai presiden FAM. Sekiranya bersedia baginda harus disokong dan diberi peluang. "Jika tidak, FAM perlu memilih secara bebas seorang presiden yang bersedia, mampu serta sanggup mentadbir FAM tanpa di pengaruhi sesiapa serta menghormati statut FAM," kata Annuar.