50,000 masih terperangkap di timur Aleppo - PBB
PARIS: Kira-kira 50,000 yang majoritinya orang awam dilaporkan masih terperangkap di timur Aleppo meskipun wujud persetujuan untuk proses pemindahan mereka, kata wakil keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Syria dan Menteri Luar Perancis.
"Terdapat 50,000 orang termasuk 40,000 orang awam yang tidak bernasib baik masih berada di sebahagian bandar itu. "Kumpulan yang lain adalah pejuang berjumlah antara 1,500 dan 5,000 yang bersama ahli keluarga mereka," kata wakil keamanan PBB, Staffan de Mistura kepada pemberita bersama Menteri Luar Perancis, Jean-Marc Ayrault.
Turki sebelum ini menyebut angka berkenaan mencapai 80,000 hingga 100,000 orang awam yang kemungkinan masih terperangkap di timur Aleppo. "Tumpuan utama kali ialah wakil PBB mesti berada bersama mereka (yang dipindahkan) dan pejuang berkenaan mesti dihormati mengikut syarat dalam persetujuan pemindahan itu," kata De Mistura.
Mengikut syarat pemindahan keluar yang dipersetujui antara rejim tentera yang disokong Russia dengan pemberontak yang disokong Turki, mereka yang dipindahkan keluar dari timur Aleppo akan dibawa ke Wilayah Idlib di barat daya Syria.
"Kami juga tidak tahu apa akan berlaku di Idlib. Sekiranya tiada perjanjian politik dan gencatan senjata, Idlib akan menjadi Aleppo yang seterusnya," kata De Mistura. Sementara itu, Ayrault berkata Perancis mendesak akan pemerhati dan pegawai PBB segera dihantar ke wilayah berkenaan. - AFP
